Wednesday 6 May 2015

Kanser Perut Pembunuh ke tujuh Tertinggi

Semalam...saya pergi menziarahi rakan guru yang baru sahaja kematian suami tercinta akibat komplikasi kanser perut...umurnya baru 51 tahun...Ya Allah macam-macam penyakit sekarang ni...jauhilah kami semua dari penyakit....jadi hari ini saya cari info berkitan kanser perut untuk dikongsi bersama rakan pembaca sekalian..




Kanser perut merupakan kanser ketujuh yang paling umum menyerang lelaki dan wanita yang berumur dalam lingkungan 70 hingga 74 tahun. Statistik menunjukkan purata lelaki diserang kanser ini adalah 58 peratus berbanding wanita sebanyak 48 peratus.

Pakar Radioterapi dan Onkologi dari Pusat perubatan Mahkota (MMC), Melaka, Dr. Sanjeev Chandra Joshi berkata, kanser perut adalah tumor malignan yang timbul daripada lapisan perut.

"Kanser perut berlaku lebih kerap dalam lingkungan umur 70 hingga 74 tahun kepada lelaki dan wanita. Kanser perut dikelaskan mengikut jenis tisu di mana mereka berasal.

"Jenis kanser perut yang paling am ialah adenocarcinoma, yang bermula dalam tisu kelenjar perut dan menyebabkan 90-95 peratus daripada semua kanser perut.

"Jenis kanser perut yang lain adalah limfoma, yang melibatkan sistem limfa dan sarcomas, yang melibatkan tisu perantara (seperti otot, lemak atau saluran darah)," katanya.

Dr. Sanjeev berkata, kanser perut boleh diubati jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal iaitu peluang 90 peratus bagi tahap satu, tahap dua (50 peratus), tahap tiga (kurang daripada 10-15 peratus) dan tahap empat (penjagaan paliatif sahaja).

Malangnya, prognosis adalah kurang baik jika kanser dikesan sudah di peringkat akhir, malah dalam kebanyakan kes ia dikesan pada peringkat yang sudah terlambat.

Tambahnya lagi, punca sebenar penyakit tersebut masih tidak diketahui, tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser seperti jantina, bangsa, genetik dan jenis kumpulan darah.

"Berdasarkan kajian, lelaki lebih daripada dua kali ganda berisiko mendapat kanser perut berbanding wanita.

"Sementara itu, orang Afrika, Amerika atau Asia mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding rantau lain. Keabnormalan genetik dan beberapa sindrom kanser diwarisi juga boleh meningkatkan risiko. Sebagai contoh, individu yang mempunyai kumpulan darah A mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi.

"Selain itu, sejarah keluarga juga boleh meningkatkan risiko kanser perut dua atau tiga kali ganda.

" Faktor gaya hidup seperti merokok, minuman beralkohol, dan diet yang rendah buah-buahan dan sayur-sayuran atau sangat gemar makanan masin, salai, atau makanan yang diawet dengan nitrat boleh meningkatkan risiko kanser perut.

"Terdapat juga kajian yang menyatakan pekerja yang terdedah kepada bahan-bahan tertentu seperti pelombong arang batu, nikel, getah dan pemposesan kayu serta pendedahan terhadap bahan asbestos juga berisiko terhadap kanser," katanya.

Dr. Sanjev menambah, kanser perut boleh diubati jika ia dijumpai dan dirawat pada peringkat awal.

Ia boleh dirawat secara kombinasi, atau sendirian melalui pembedahan yang dipanggil gastrectomy.

Pembedahan ini bertujuan membuang semua atau sebahagian daripada perut, dan juga sebahagian daripada tisu di sekeliling perut. Rawatan kemoterapi dan Radioterapi juga diaplikasikan kepada pesakit kanser.

"Kanser perut sukar disembuhkan kecuali dikesan pada peringkat awal sebelum ia merebak. Malangnya, gejala kanser ini sukar dikesan di peringkat awal.

"Seeloknya buat pemeriksaan awal dengan berjumpa doktor apabila mempunyai tanda-tanda awal termasuk ketidakhadaman dan ketidakselesaan perut, perasaan kembung selepas makan, loya sederhana, hilang selera makan dan pedih hulu hati.

"Gejala-gejala ini adalah lebih kurang sama dengan ulser peptik. Jika anda mengalami mana-mana gejala-gejala ini anda perlu berjumpa dengan doktor segera supaya diagnosis boleh dibuat dan rawatan tepat pada masanya boleh diberikan," katanya.

Beliau menambah, kanser perut boleh menjadi lebih serius dengan timbul gejala-gejala lain termasuklah ketidakselesaan di bahagian atas atau tengah abdomen, darah dalam najis (berwarna hitam), muntah atau muntah darah, turun berat badan secara mendadak, sakit atau kembung dalam perut selepas makan, lemah atau letih yang berkaitan dengan anemia yang ringan (kekurangan sel darah merah).

Untuk mendiagnosis kanser, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk melihat jika ada pembesaran nod limfa, pembesaran hati, peningkatan cecair dalam abdomen (ascites), atau ketulan di bahagian abdomen.

Ujian lain termasuk ujian barium iaitu X-ray esofagus, perut, dan bahagian pertama usus yang diambil selepas pesakit diberi minum larutan barium. Ujian gastroskopi dan biopsi pula untuk mengkaji esofagus dan perut, iaitu dengan menggunakan tiub berlampu yang nipis dipanggil teropong perut, yang dimasukkan melalui mulut ke perut.

"Melalui teropong perut ini, doktor boleh melihat secara langsung keadaan bahagian dalam perut.

"Jika suatu kawasan yang tidak normal ditemui, doktor akan mengambil beberapa tisu (biopsi) untuk diperiksa di bawah mikroskop. Biopsi adalah satu-satunya cara yang tepat untuk mendiagnosis kanser. Gastroskopi dan biopsi adalah kaedah terbaik untuk mengenal pasti kanser perut.

"Apabila kanser perut didiagnosis, lebih banyak ujian boleh dilakukan untuk menentukan sama ada kanser telah merebak.

"Ujian-ujian ini mungkin termasuk imbasan CT, imbasan PET, imbasan tulang, laparoskopi dan endoskopik," ujarnya. - Siti Aishah Yusoff



Sumber: utusan.com

1 comment:

  1. nice sharing...
    salam, thanks drop by my blog n drop ur comment, saya follow sini terus ye...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
FARWIZAH M.I.D LOVE'S Copyright © 2015 Designed by NH Design